Polis Selamatkan 27 Mangsa Pemerdagangan Manusia

Diterbitkan: Selasa, 8 Mac 2016 7:16 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Polis menyelamatkan 27 lelaki warga Bangladesh yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di Taman Sungai Puyu di sini awal pagi Selasa.

Kesemua lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan kurus dan tidak bermaya dalam dua buah rumah yang dikunci dan bermangga dari luar.

Menurut sumber, polis mengambil masa kira-kira setengah jam untuk membuka pintu rumah yang bermangga itu.

"Dalam operasi pada pukul 2 pagi itu, polis menyerbu dua rumah dan menemui 17 lelaki Bangladesh dalam rumah pertama yang diserbu manakala 10 orang lagi ditemui terkurung dalam rumah kedua di taman yang sama," kata sumber itu di sini Selasa.

Siasatan awal polis mendapati kesemua mereka dikurung di dua buah rumah itu oleh satu sindiket pemerdagangan manusia sejak dua bulan lepas.

Sumber itu berkata siasatan polis juga mendapati kesemua lelaki berkenaan di beri makan sekali sehari dan ada yang dipukul jika cuba melarikan diri.

Difahamkan, semua rakyat asing berusia 20 hingga 40 tahun yang diselamatkan itu hanya diberi makan roti canai sekeping sehari dan air paip sebagai minuman.

"Semua warga asing itu dipercayai masuk ke negara ini secara sah tetapi sebaik tiba, sindiket yang kononnya akan mencarikan kerja, mengurung mereka di beberapa kawasan tertentu sebelum dijual kepada majikan," kata sumber itu.

Setiap rakyat asing itu dikenakan bayaran tertentu untuk dibawa masuk ke Malaysia dan mereka dijual dengan harga bermula RM3,000 seorang kepada majikan yang mahukan pekerja.

Menurut sumber berkenaan susulan dua serbuan itu, polis menahan tiga lelaki berusia 30-an di kawasan taman berkenaan yang dipercayai anggota sindiket pemerdagangan manusia terbabit bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Mohd Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kes itu namun enggan mengulas lanjut. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pemerdagangan manusia , PDRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan