Mangsa Kemalangan Adalah Keluarga Ketua Polis Pahang

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mac 2016 7:56 AM

Anggota polis mengangkat mayat yang ditemui dibawah treler untuk di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada Jumaat. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

IPOH: Empat orang yang ditemui rentung dalam sebuah kereta di Kilometer 265.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan selepas Terowong Menora di sini pagi Jumaat merupakan anggota keluarga Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani.

Perkara itu dinyatakan anak saudara Sharifuddin, Mejar Azmi Abdul Rahim ketika ditemui pemberita di Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semasa membuat pengecaman mayat.

Mereka yang maut ialah kakak Sharifuddin, Rosmani, 65, anak Rosmani, Mohd Azahar Abdul Rahim, 43, dan dua orang anak Mohd Azahar yaang dikenali sebagai Muhammad Aizat, 17, serta Muhammad Daniel, 13.

Azmi berkata keluarga tersebut dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah menuju Shah Alam, Selangor untuk mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Aizat di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Mereka bertolak dalam pukul 10 malam dan sepatutnya sampai di Shah Alam dalam pukul 4 hingga 5 pagi.

"Saya tidak dapat menghubungi mereka, lalu saya membawa 12 anggota tentera mencari mereka di sekitar lebuh raya hingga ke Taiping," katanya yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Memerintah Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Bentong, Pahang.

Keempat-empat mayat mangsa ditemui dalam sebuah kereta yang rentung semasa kerja-kerja pengalihan sebuah treler yang terbabas dan terbakar di lokasi sama awal pagi Jumaat.

Semua jenazah akan dikebumikan di Terengganu. - BERNAMA


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan