Sempat Beli Makanan Untuk Isteri, Anak Sebelum Ditembak - Rakan

Diterbitkan: Ahad, 28 Februari 2016 5:43 PM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Pengawal keselamatan, M. Thomas, 45, yang ditembak mati di hadapan stesen minyak Petron, Jalan Semenyih, Kajang, awal pagi Ahad sempat membeli makanan untuk keluarganya sebelum kejadian. 

Rakan mangsa, Vigyakumar, 42, berkata sudah menjadi kebiasaan bagi mangsa untuk membeli makanan dan barang keperluan untuk dibawa pulang ke rumah.

"Rakan-rakan ada beritahu saya yang dia ada membeli makanan untuk keluarganya sebelum kejadian itu. Itulah sifat dia (Thomas) yang saya kenali hampir 15 tahun.

"Dia seorang yang baik, berani dan suka membantu orang sekiranya mereka menghadapi masalah," katanya ketika ditemui Bernama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, Ahad. 

Vigyakumar berkata mangsa tidak pernah ada musuh atau berdendam dengan sesiapa malah sentiasa membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakan dan keluarganya.

Seorang lagi rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata beliau amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai peristiwa yang menimpa sahabatnya itu. 

"Ketika itu, saya sedang tidur dan tiba-tiba kawan saya telefon memaklumkan mengenai perkara tersebut. Walaupun saya berlainan agama dan bangsa tetapi saya dengan dia seperti adik-beradik, dia akan sentiasa tolong saya dan rakan-rakan jika ada masalah," katanya. 

Ahmad berkata beliau dan rakan-rakannya akan sentiasa membantu keluarga mangsa bagi mengurangkan beban mereka memandangkan anaknya masih kecil dan bersekolah. 

"Dulu dia pernah bantu kami, jadi kami telah banyak terhutang budi dengan dia...tiba masanya kami pula yang membantu keluarganya," katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi tadi, Thomas maut manakala seorang pemandu lori cedera parah selepas ditembak suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Kedua-dua mangsa ditemui terbaring di lokasi kejadian dalam keadaan berlumuran darah.-Bernama

Tags / Kata Kunci: M. Thomas , Mangsa Tembak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan