Gempa - Jangan Cetuskan Suasana Panik - Polis

Diterbitkan: Rabu, 24 Februari 2016 1:23 PM

(Ubah saiz teks)

HULU TERENGGANU: Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehinggakan mencetuskan suasana panik berhubung kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Tasik Kenyir, di sini malam Selasa.

Keadaan adalah selamat dan polis sedang melakukan pemantauan di kawasan sekitar Tasik Kenyir yang mengalami gegaran susulan kejadian gempa bumi itu, katanya.

Gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter dikesan di Tasik Kenyir dan gegaran boleh dirasai di Kuala Berang pada 9.25 malam tadi. Pusat gempa bumi itu terletak di 5 darjah Utara dan 102.9 darjah Timur, iaitu 16 km Barat Daya dari Kuala Berang.

Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar Tasik Kenyir, Kampung Jenagor, Kampung Pasir Dula dan Bandar Kuala Berang mendapati penduduk dan pengusaha kedai makan menjalankan aktiviti seperti biasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Mohd Zamri Omar berkata  pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan termasuk di kawasan empangan Tasik Kenyir mendapati tiada kawasan yang terjejas akibat gegaran itu.

"Kami telah menjalankan pemeriksaan di beberapa kawasan dan kami juga telah dimaklumkan tiada apa yang terjejas dalam kawasan empangan," katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat berkata kejadian gempa bumi lemah itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan kejadian tersebut dikatakan pernah berlaku sewaktu pembinaan Empangan Tasik Kenyir.

Katanya beliau akan mengusulkan kepada kerajaan negeri supaya melakukan  kajian saintifik terhadap kejadian tersebut dan mengambil langkah persediaan bagi menjamin keselamatan semua pihak terutamanya penduduk.

"Langkah-langkah keselamatan seperti alat pengesan gempa bumi dan siren untuk memaklumkan kepada penduduk perlu dipasang supaya penduduk boleh mengambil langkah awal sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri berkata orang ramai tidak perlu risau kerana Pengurus Besar Stesen Janakuasa Eletrik Sultan Mahmud Mustafa Hashim mengesahkan kejadian itu tidak memberi kesan kepada empangan.

"Malam tadi memang ramai penduduk yang telefon saya tanya apa yang terjadi, ada yang bagitahu rumah mereka bergoyang dan terasa macam angin kuat ... mereka juga bagitahu gegaran berlaku dua kali iaitu sekitar 9.20 malam dan 11.10 malam," katanya.

Katanya gegaran dirasai lebih 20 kampung di sekitar kawasan Empangan Tasik Kenyir termasuk Kampung Jenagor, Kampung Tapah, Kampung Dusun, Kampung Pueh, Kampung Dura dan Kampung Sungai Berua.

Tags / Kata Kunci: Kenyir

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan