Objek Disangka Bom Adalah Mercun - Polis

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2016 10:34 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Polis mengesahkan objek dijumpai di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di sini malam tadi dan disangka bom adalah mercun yang dibungkus dalam plastik lutsinar.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi bagaimanapun berkata polis sedang menyiasat secara terperinci bagi menentukan kandungan sebenar objek di dalam plastik itu.

Ditanya sama ada ia mempunyai kaitan dengan unsur jenayah atau gangsterisme, katanya polis turut menyiasat aspek itu.

"Semasa polis sampai, objek itu sudah diletakkan di atas rumput di hadapan sebuah pusat karaoke di situ," katanya ketika dihubungi.

Katanya objek itu dijumpai oleh pemilik pusat hiburan itu di bawah keretanya kira-kira pukul 11 malam yang kemudiannya memindahkannya ke tempat lain.

Mohd Kamal berkata anggota Unit Pemusnah Bom PDRM telah dihantar ke tempat itu untuk memeriksa dan memusnahkan objek itu yang disangka bom.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dipanggil ke lokasi bagi menghadapi sebarang kemungkinan, katanya.

Ketika kejadian masyarakat Cina di bandar ini sedang rancak meraikan perayaan Chap Goh Meh dengan bunyi letupan mercun dan bunga api kedengaran dan kelihatan di hampir semua pelosok kawasan.

Tags / Kata Kunci: Polis , Bom

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan