Polis Sentul Buru Suspek Kes Rusuhan, Bunuh

Diterbitkan: Isnin, 22 Februari 2016 10:14 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu 20 suspek yang menyerang dua lelaki dalam rusuhan di pusat hiburan di Batu Tiga, Jalan Ipoh di sini pada 12 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti seorang individu dari Lenggeng, Negeri Sembilan yang dipercayai terlibat dalam kes itu dan masih mengesan suspek lain.

Menurutnya dalam kejadian pukul 12.52 pagi itu, mangsa yang masing-masing berumur 37 dan 35 tahun cedera di muka, kepala, tangan, mata dan anggota badan selepas diserang sekumpulan lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun dengan parang, pisau dan kayu snuker.

Semua suspek kemudian melarikan diri manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Motif serangan adalah akibat salah faham yang tercetus antara dua kumpulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Isnin.

Ditanya sama ada kedua-dua kumpulan itu merupakan kumpulan gangster, beliau menafikannya sambil menambah kesemuanya berada dalam keadaan mabuk sewaktu insiden tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Munusamy berkata polis turut memburu tiga suspek dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki berumur 34 tahun di Publika Solaris, Jalan Dutamas 1, di sini pada 8 Februari lalu.

"Setakat ini seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan beliau tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 pagi itu, mangsa yang mempunyai dua kes jenayah lampau disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas mengalami kecederaan di muka dan badan dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan