Polis Tumpas Cubaan Edar Dadah Guna Angpau

Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2016 6:36 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

MUAR: Helah pengedar dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah ke dalam angpau ketika sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, terbongkar apabila polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dalam serbuan di sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata helah itu  dikesan polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kebun Sayur Bakri pada 2.45 petang.

"Polis mendapat maklumat bahawa rumah itu digunakan sebagai pusat jualan dadah kepada penagih di sekitar kawasan itu. Hasil serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30-an dan merampas sekeping angpau berisi dadah di tangan suspek," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azman berkata hasil pemeriksaan, polis turut menemui 20 keping kerajang timah mengandungi 200 biji pil dipercayai dadah jenis eramin 5 dan satu tin  mengandungi satu paket dadah jenis ketamin dengan anggaran seberat 8.56 gram.

Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk siasatan lanjut.

Selain itu, seorang pemuda berusia 20-an yang dipercayai pengedar dadah, ditahan di sebuah stesen minyak di Sungai Balang dekat sini pada hari sama.

Hasil pemeriksaan menemui dua plastik masing-masing mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki ganja yang anggarannya lebih 200 gram dan satu lagi mengandungi dadah disyaki heroin yang anggarannya 142 gram, disimpan di bawah tempat duduk motosikal berkenaan.

Lelaki dari Parit Bilal, Batu Pahat itu kemudian dibawa pulang ke IPD Muar untuk membantu siasatan, katanya.

Azman berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: edar dadah , angpau

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan