Mangsa Dera Di Butterworth Beransur Pulih

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2016 11:15 PM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandungnya di Kampung Manis, Perai di sini Selaas masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan keadaannya dilaporkan semakin stabil serta beransur pulih.

Mangsa kini menerima rawatan dan pemerhatian khusus oleh pakar kanak-kanak untuk membantunya pulih daripada trauma ekoran kejadian berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan berkata kanak-kanak itu akan menerima rawatan di HSJ sehingga sembuh sebelum diserahkan kepada datuk dan neneknya atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mangsa kini semakin stabil dan dia mungkin akan dijaga JKM atau anggota keluarganya yang lain kerana menurut rekod latar belakang, ibu bapanya merupakan penagih dadah," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak berkenaan di HSJ di sini Khamis.

Tindakan jiran yang melihat seorang wanita mendera anaknya di Kampung Manis, Perai di sini membuat laporan polis, berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu Selasa lepas.

Polis menemui kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami beberapa kecederaan di belakang badan, lebam pada kelopak mata kiri, dua batang gigi tengah retak dan longgar serta terdapat kesan calar pada ibu jari kanan.

Susulan itu polis menahan ibu mangsa yang berusia 41 tahun yang juga merupakan penagih dadah dan kini direman selama tiga hari sehingga Jumaat.

Thaiveegan berkata polis akan mendapatkan laporan perubatan kanak-kanak itu bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan sebelum menyerahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang Said Sidup ketika dihubungi berkata pihaknya akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.

Katanya mangsa akan ditempatkan sementara di rumah perlindungan di Taman Bakti Kanak-kanak, Kepala Batas dekat sini selepas dibenarkan keluar daripada HSJ sebelum pihaknya membenarkan anggota keluarga menjaganya.

"Kami akan menyediakan laporan sosial dan pada masa sama mengesan anggota keluarga kanak-kanak itu yang paling sesuai menjaganya kerana saya difahamkan bapanya ditahan di penjara atas kesalahan dadah manakala ibunya turut ditahan kerana menderanya.

"JKM akan menyerahkan laporan berkenaan kepada mahkamah untuk tentukan siapa yang akan menjaga mangsa selepas itu," katanya.- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: dera , JKM , Butterworth

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan