Pelancong Britain Terseliuh Ketika Daki Gunung Kinabalu Diselamatkan

Diterbitkan: Rabu, 3 Februari 2016 12:51 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (PBB MoSAR) menyelamatkan seorang pelancong dari Britain yang terseliuh kakinya ketika mendaki Gunung Kinabalu, petang Selasa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan pada Rabu berkata mangsa Imran Ahmed Syed yang hanya dapat meneruskan pendakian sehingga ke Pondok Paka (KM5.4), dibawa turun oleh pasukan MoSAR ke Pondok Timpohon menggunakan tandu.

Menurut kenyataan itu, pasukan MoSAR yang ketika itu sedang melakukan pemeriksaan keadaan di kawasan pergunungan berkenaan sejak pukul 3 petang, dimaklumkan oleh malim gunung mengenai keadaan mangsa.

Mangsa sebelum itu dikatakan terjatuh di kawasan Pondok Mempening (KM3.3) tetapi tidak memberitahu kecederaan yang dialaminya selain mahu meneruskan pendakian.

"Beliau ada mengadu kaki kirinya sangat sakit ketika di Pondok Villosa (KM5) tetapi masih mahu meneruskan pendakian, dan setelah sampai ke Pondok Paka, mangsa tidak dapat menahan lagi kesakitan dan ingin turun ke tempat pemeriksaan Layang-Layang," menurut kenyataan itu.

Pasukan MoSar yang mengiringi mangsa telah memberi rawatan awal dan mendapati kaki kiri mangsa bengkak dan ada tanda kecederaan.

Pasukan Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) yang menunggu di Pondok Timpohon kemudian membawa mangsa ke Hospital Ranau.
Tags / Kata Kunci: PBB MoSAR , Gunung Kinabalu , JBPM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan