Polis Giat Buru Geng 'Tengku'

Diterbitkan: Jumaat, 29 Januari 2016 4:01 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Polis kini giat mengesan tiga individu dipercayai anggota 'Geng Tengku' yang aktif melakukan samun dan peras ugut di kafe siber serta pusat hiburan keluarga sekitar Ipoh sejak November lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata pada 15 Jan lalu pihaknya memberkas dua lelaki masing-masing berumur 26 dan 28 tahun termasuk seorang dipercayai ketua kumpulan terbabit di Beruas, kira-kira 60 kilometer dari sini.

"Bagaimanapun dipercayai tiga lagi anggota geng itu berusia lingkungan 20-an hingga 30-an masih bebas dan usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan.

"Semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas dua bungkusan mengandungi ganja seberat 17.4 gram serta sebuah kereta, dua telefon bimbit, komputer riba, dan sebilah pisau," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki dipercayai ketua kumpulan berkenaan mempunyai empat rekod jenayah lampau antaranya dadah, mencederakan orang dan samun.

Hasil soal siasat, kedua-dua suspek yang berasal dari Ipoh mendedahkan geng itu aktif melakukan samun serta meminta wang perlindungan daripada mangsa dan akan mencederakan mangsa sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi.

Mengulas lanjut, Sum berkata awal tahun ini, seorang lelaki cedera ditikam ketua kumpulan geng itu dalam kejadian di sebuah hospital di sini akibat salah faham.

Kedua-dua suspek direman sehingga 30 Jan ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Tags / Kata Kunci: Polis , Geng Tengku

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan