Lelaki Warga Pakistan Jual Seragam Polis Diberkas

Diterbitkan: Sabtu, 23 Januari 2016 8:45 AM

(Ubah saiz teks)

LUMUT: Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan dan merampas kelengkapan pakaian seragam polis bernilai RM4,300 di sebuah kedai jahit di Pekan Manjung, di sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata suspek berumur 34 tahun yang bekerja di kedai jahit pakaian anggota keselamatan ditahan kira-kira 3.30 petang semasa pemeriksaan dijalankan di beberapa premis perniagaan.

Ketika bercakap pada sidang media, Mohd Zailan berkata suspek didapati menjual peralatan dan lencana polis tanpa permit serta lesen yang sah sejak lapan bulan lepas.

"Antara barangan yang dirampas termasuk 34 pangkat DSP, 33 pangkat ASP, lencana integriti dan semua lencana polis," katanya.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut 89(b) Akta Polis 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam sidang media sama, Mohd Zailan berkata polis menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 52 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan cap imigresen palsu, 14 Jan lalu.

Mohd Zailan berkata lelaki itu ditahan di kediamannya di Taman Pegawai, Sitiawan dan semasa serbuan pihaknya menemui beberapa dokumen perjalanan serta peralatan cap imigresen palsu.

"Kami menemui 21 cap palsu Imigresen termasuk 10 cop Imigresen Bangunan Sultan Iskandar, 10 cap Imigresen Singapura dan satu cap Imigresen Vietnam," katanya menambah suspek mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM300 bagi setiap cap imigresen.

Beliau berkata polis turut merampas 15 dokumen perjalanan Vietnam, empat dokumen perjalanan Malaysia dan masing-masing satu dokumen perjalanan Bangladesh dan Thailand.

Mohd Zailan berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek menjalankan kegiatan itu secara bersendirian atau bersama sindiket pemalsuan yang lain.

Beliau berkata kes itu merupakan kes pertama di daerah Manjung dan kes disiasat mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan dan Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/1963.

Tags / Kata Kunci: Polis , Manjung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan