1,600 Anggota Polis Kawal Sambutan Thaipusam Di Ipoh - Berita Jenayah | mStar

1,600 Anggota Polis Kawal Sambutan Thaipusam Di Ipoh

Diterbitkan: Selasa, 19 Januari 2016 11:30 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seramai 1,600 anggota polis akan ditugaskan mengawal keselamatan di sekitar Gunung Cheruh di sini yang menempatkan Kuil Arul Subramaniar sempena perayaan Thaipusam, Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, selain memastikan  keselamatan terkawal, anggota berkenaan juga ditugaskan mengawal keadaan trafik kerana dianggar kira-kira 100,000 penganut Hindu dan pelancong akan membanjiri kawasan sekitar kuil itu.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, Selasa, Sum berkata beberapa jalan akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat mulai 23 Jan ini bagi membolehkan perarakan Thaipusam berjalan lancar.

Antara jalan terlibat ialah susur Jalan Istana ke Jalan Raja Musa Aziz, susur jalan dari bangunan Pejabat Tanah dan Galian, bulatan hospital dan Jalan Kuala Kangsar, katanya.

Beliau berkata masyarakat Hindu serta pelancong yang ingin ke Kuil Arul Subramaniar boleh meletak kenderaan mereka di Medan Ipoh Raya, Jalan Hospital, Raja Musa Aziz serta susur masuk dan keluar ke Perumahan Polis Padang Tembak.

Sum turut menasihati pengguna jalan raya agar menggunakan jalan alternatif untuk ke pusat bandar bagi mengelak kesesakan lalu lintas selain mematuhi arahan yang dikeluarkan anggota polis.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Thaipusam , polis , Ipoh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan