Lapor Segera Jika Syak Penginap Hotel Terlibat Daesh

Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2016 3:54 PM

Shariffudin Ab Ghani

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Pengusaha hotel di negeri ini diminta melaporkan segera kepada polis sekiranya mengesyaki penginap hotel mereka berada dalam keadaan mencurigakan yang menjurus ke arah penglibatan dalam aktiviti militan, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani.

Kerjasama daripada pihak hotel itu penting untuk mengekang aktiviti Kumpulan Pengganas Daesh supaya tidak terus menular dalam kalangan rakyat negara ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah "Ramah Mesra Ketua Polis Pahang Bersama Pengurus-Pengurus Hotel Malaysia Pahang di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Sharifuddin berkata Polis Kontijen Pahang menyasarkan sifar kejadian jenayah di hotel di negeri ini pada tahun ini.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas hanya sebanyak 24 kes jenayah kecurian direkodkan berlaku di hotel di negeri ini dengan daerah Bentong mencatatkan jumlah kes yang paling tinggi iaitu 15 kes, diikuti Kuantan (enam) dan kemudian Jerantut, Maran serta Cameron Highlands masing-masing satu kes.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta pengusaha hotel tidak bersekongkol dengan individu yang menjalankan kegiatan haram seperti pelacuran dan perjudian serta menyediakan bilik penginapan kepada pendatang tanpa izin.

"Sejak akhir-akhir ini terdapat hotel atau rumah tumpangan sering dijadikan tempat untuk melakukan jenayah dan aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.

"Bilik hotel juga digunakan sebagai 'transit' untuk merancang aktiviti jenayah termasuk aktiviti 'perjudian dalam talian', pengedaran atau penyalahgunaan dadah dan juga aktiviti oleh kumpulan pecah rumah dan curi," katanya.

Dalam perkembanan lain polis akan melakukan operasi bauksit 24 jam fasa kedua bermula 12 tengah malam ini bagi mengesan lori-lori bauksit yang ingkar arahan moratorium yang ditetapkan oleh Kabinet sebelum ini. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Daesh , hotel , Sharifuddin Ab Ghani

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan