Polis Buka Kertas Siasatan Kes Tembak Ahli Perniagaan

Diterbitkan: Rabu, 13 Januari 2016 9:29 PM

Tajudin Md Isa

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis akan membuka kertas siasatan terhadap pengawal peribadi yang melepaskan tembakan dalam kes seorang ahli perniagaan diserang di sebuah gerai makan di Jalan Empat, Chan Sow Lin, Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 38 Akta Senjata Api kerana melepaskan tembakan dan memiliki senjata api.

"Polis telah merampas pistol yang dibawa pengawal peribadi itu dan akan menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kami akan menyiasat dan ambil keterangan dia terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Komandan dan Ajutan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, Rabu.

Isnin lalu, seorang daripada dua ahli perniagaan yang sedang bersarapan di sebuah gerai diserang oleh dua lelaki dan mengalami kecederaan setelah ditetak dengan parang.

Seorang pengawal peribadi bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kedua-dua suspek yang mengenai seorang daripada suspek manakala seorang lagi suspek melarikan diri.

Dalam kejadian itu juga, seorang pekerja lelaki di gerai makan berkenaan cedera di kaki, selepas terkena tembakan.

Sementara itu, Tajudin menggalakkan lebih ramai orang awam menyertai SSP KL bagi membantu mengurangkan masalah sosial dan jenayah di ibu negara.

"Selain itu, saya harap guru sekolah juga dapat melibatkan diri sekali gus menangani gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah," katanya.

Tajudin berkata setakat ini, terdapat sebanyak 1,031 pegawai dan anggota sukarelawan polis di ibu negara, dan mahu agar jumlah berkenaan ditambah.

"Peranan sukarelawan sedia ada ini juga amat penting dalam menarik lebih ramai orang awam menyertai sukarelawan polis pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, dua pegawai dinaikkan pangkat dengan menyandang jawatan sebagai Komandan dan Ajutan Sukarelawan Simpanan Polis Kuala Lumpur iaitu Supt Jalaludin Ismail, 50, dan ASP Mohd Shuhaimi Marzuki, 41.

Sementara itu, Jalaludin berkata seseorang individu itu perlu mempunyai minat, komitmen dan mampu membahagikan masa dalam pekerjaan hakiki dan tugasan harian jika mahu menjadi sukarelawan polis.

"Ia bukan sesuatu yang mustahil dilakukan. Dengan penglibatan dalam sukarelawan ini, kita juga boleh tahu tugas sebenar seorang anggota polis," katanya yang telah berkhidmat sejak 1992.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan