Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Hina Kesultanan Johor Di Facebook

Diterbitkan: Rabu, 13 Januari 2016 9:59 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Polis menahan seorang lelaki yang menggunakan nama 'Kambing Selatan' di akaun Facebooknya, bagi membantu siasatan kes penghinaan dan hasutan ke atas Kesultanan Johor di laman sosial itu akhir tahun lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Jalan Tanjung, Taman Wangi, Gua Musang, Kelantan, pada pukul 2.45 petang, Rabu.

"Suspek ditangkap bagi membantu siasatan kes menghina dan menghasut ke atas Kesultanan Johor melalui Facebook yang telah dilaporkan di Balai Polis Taman Pelangi pada 27 Dis tahun lalu," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata pihaknya turut merampas beberapa peralatan komputer dan lelaki itu kini dibawa ke Johor untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Sekyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Berikutan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial untuk menyebarkan kenyataan berbaur fitnah atau hasutan yang boleh mencemar kredibiliti kerabat diraja atau mana-mana individu.

Selain itu, orang ramai juga diminta menggunakan Facebook secara profesional dengan mengambil kira perkara sensitif yang boleh menyinggung perasaan orang lain katanya.

Tags / Kata Kunci: Facebook

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan