Warga Emas Meninggal Selepas Dilanggar Di Depan Masjid

Diterbitkan: Ahad, 10 Januari 2016 6:52 PM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Tawau setelah dilanggar sebuah kenderaan selepas selesai menunaikan solat Subuh di Masjid Jalan Merotai kira-kira 30 kilometer dari sini.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, mangsa Beddu Lenre, 69 dikatakan sedang melintas jalan di hadapan masjid itu sebelum dirempuh kenderaan jenis Perodua Kembara yang dalam perjalanan dari Kampung Pasir Puteh menghala ke Ladang Dumpas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata pihaknya menerima laporan kejadian dari pemandu kenderaan serta waris mangsa kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

"Mangsa telah dibawa oleh pemandu kenderaan ke Klinik Kesihatan Merotai sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut dan mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital," katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Fadil berkata, pemandu kenderaan pada mulanya tidak sedar telah melanggar mangsa sebaliknya meneruskan perjalanan namun ditahan oleh seorang lelaki yang memaklumkan kenderaan Peroduanya telah melanggar seorang pejalan kaki warga emas.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan