Tiga Ditahan Bantu Siasatan Kes Tembak Mati Di Sibu

Diterbitkan: Ahad, 10 Januari 2016 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Polis Sibu menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang lelaki di sebuah restoran di Jalan Long Bridge di sini Sabtu malam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi berkata, mereka ditahan sekitar pukul 2.30 pagi di bandar ini namun tidak menyatakan lokasi sebenar penahanan itu dibuat.

"Tiada senjata yang dijumpai," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Menurut beliau, pihaknya masih menyiasat motif serangan yang menyebabkan kematian lelaki berusia 30 tahun itu dan kecederaan ke atas teman wanitanya yang merupakan warganegara China.

Namun beliau tidak menolak kejadian adalah berpunca daripada persaingan perniagaan dan perebutan kawasan berkaitan kongsi gelap.

Dalam kejadian pada 11.09 malam itu, mangsa bersama teman wanita dan seorang pengawal peribadi baharu selesai makan di restoran tersebut.

Mereka dikatakan baru hendak beredar dari situ apabila sebuah Toyota Hilux berwarna putih berhenti dengan tiba-tiba tidak jauh dari mereka dan pemandunya mengeluarkan senapang patah dan melepaskan tembakan.

Selepas tembakan pertama, pengawal peribadi itu terus mengeluarkan pistolnya dan membalas dengan lima das tembakan ke arah Hilux itu.

Penyerang tersebut melepaskan dua das tembakan lagi ke arah mangsa sebelum memecut meninggalkan tempat itu menggunakan Jalan Lanang dan melepaskan tembakan di sebuah simpang tiga bagi melepasi lampu isyarat merah.

Mangsa berusia 30an itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 12.31 pagi ini berikutan kesan tembakan di dada kiri, bahu kiri dan di belakang.

Teman wanitanya cedera di bahu dan pergelangan tangan kiri serta dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan.

Pengawal peribadi itu sempat melihat tiga lelaki di dalam kenderaan tersebut dan percaya tembakannya mengenai salah seorang daripada mereka.

Kes diklasifikasikan sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Mohd Kamal menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Balai Polis Sentral Sibu di talian 084-336144 atau datang sendiri ke mana-mana balai polis berdekatan. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Mohd Kamal Kordi , Jalan Long Bridge , Sibu

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan