Kanak-Kanak Perempuan Setahun Antara Ditahan Imigresen - Berita Jenayah | mStar

Kanak-Kanak Perempuan Setahun Antara Ditahan Imigresen

Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 6:08 PM

Gambar Hiasan

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berumur satu tahun antara 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan Imigresen Kedah dalam 'Ops Sapu' yang dijalankan di sekitar Sungai Petani, awal pagi Rabu.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi yang dijalankan pada pukul 1.30 pagi itu, pemeriksaan telah dijalankan di tujuh buah rumah sewa di Taman Sejati Indah dan Taman SP Heights, Sungai Petani.

"Pemeriksaan telah dijalankan ke atas 29 Pati pelbagai warganegara dan hasilnya tujuh lelaki, lima wanita serta seorang kanak-kanak perempuan Indonesia, Bangladesh (1), Myanmar (1) dan dua lelaki serta dua wanita Vietnam yang kesemuanya berumur antara satu hingga 47 tahun telah ditahan.

"Dalam serbuan di Taman Sejati Indah, seorang wanita Indonesia yang ditahan bersama anak perempuannya mendakwa dirinya telah berkahwin dengan seorang lelaki Bangladesh selama lima tahun. Semasa serbuan suaminya tiada di rumah kerana sedang bekerja di sebuah kilang di situ," katanya dalam kenyataan, Rabu.

Mohamad Yusri berkata, semua Pati ditahan atas pelbagai kesalahan dan ada antaranya tinggal lebih masa selepas pas lawatan sosial tamat dalam tempoh 6 bulan hingga 1 tahun.

Beliau berkata semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Pati , Ops Sapu , Taman SP Heights , Imigresen
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan