Pendaki Sesat Di Gunung Semangkuk Ditemui

Diterbitkan: Ahad, 27 Disember 2015 2:09 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang pendaki yang dikhuatiri sesat ketika melakukan aktiviti lasak itu di Gunung Semangkuk berhampiran Fraser Hill, Raub ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Ahad.

Pegawai Kanan Bomba Zon II Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata Ahmad Suffian Jamak, 23, ditemui dalam keletihan di kawasan dikenali sebagai Twin Peak dalam kalangan pendaki kira-kira pukul 9 pagi.

"Operasi membawa turun mangsa sedang dilakukan dan dijangka tiba di tempat mula pendakian pukul 3 petang ini," katanya.

Shahrin Yusmar, yang mengetuai operasi SAR, berkata pasukan menyelamat juga berjaya menemui tiga lagi rakan mangsa termasuk seorang remaja wanita pada pukul 4.50 pagi di gunung dengan ketinggian 1,824 meter itu.

Mereka yang berumur antara 16 dan 35 tahun dilaporkan terpisah daripada kumpulan utama dan mangsa semasa dalam perjalanan turun dari gunung itu.

Sebelum itu, Ahmad Suffian bersama 21 pendaki lain dari Kuala Lumpur, iaitu 12 lelaki dan 10 wanita, dilaporkan mula mendaki Gunung Semangkuk pukul 3 pagi pada cuti umum Jumaat lepas.

Bagaimanapun kumpulan itu mula terpecah kepada beberapa kumpulan.

Sebahagian besar berjaya tiba di tempat mula pendakian petang semalam namun sebaik menyedari ada lagi anggota kumpulan itu termasuk mangsa bersama tiga rakannya tidak tiba di situ pada pukul 7 petang semalam, seorang daripada anggota kumpulan itu menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Operasi SAR kemudian dilakukan 24 pegawai dan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Raub, Lipis, Genting Highlands, Temerloh, Kuantan dan Bandar Indera Mahkota.

Ia turut dibantu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan orang awam. 

Tags / Kata Kunci: Gunung Semangkuk

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan