Mayat Lelaki Ditemui Celah Batu Air Terjun

Diterbitkan: Ahad, 27 Disember 2015 3:35 PM

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui di celah batu di kawasan air terjun Titi Kerawang di Sungai Pinang, di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata mayat lelaki itu ditemui seorang tukang paip warga Nepal yang sedang melakukan kerja pemasangan paip di kawasan berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.

"Lelaki berusia 45 tahun yang sedang menjalankan kerja memasang paip air di kawasan Bukit Titi Kerawang itu menjumpai satu mayat tidak dikenal pasti terperosok di bawah batu air terjun.

"Ketika ditemui mayat lelaki itu terapung di permukaan air di celah batu besar dalam keadaan tubuh badan tidak sempurna dan bengkak, dipercayai mangsa meninggal sejak tiga atau empat hari lepas," katanya kepada pemberita.

Katanya polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa turun mayat dari atas bukit itu.

Lai berkata jarak antara kaki bukit ke tempat kejadian adalah lebih kurang 15 kilometer dan terpaksa melalui jalan bukit kecil serta meredah hutan tebal berbahaya.

Menurut beliau laluan ke kawasan mayat mangsa ditemui itu hanya boleh dimasuki menggunakan motosikal separuh jalan sahaja dan perlu berjalan kaki mendaki dua bukit lagi untuk sampai ke lokasi kejadian.

"Kira-kira 50 pegawai dan anggota dibantu pihak bomba dan JPAM terlibat dalam operasi membawa turun mayat lelaki berkenaan. Mayat mangsa berjaya dibawa turun pada pukul 3 pagi tadi," katanya.

Beliau berkata mayat lelaki dipercayai berbangsa Cina berdasarkan warna kulit itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

Lai meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mayat itu atau kehilangan anggota keluarga atau kenalan agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Tags / Kata Kunci: Titi Kerawang , Pulau Pinang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan