Sabah Terdedah Kepada Ancaman Kerana Kedudukan Geografi

Diterbitkan: Sabtu, 26 Disember 2015 6:26 PM

Jalaluddin Abdul Rahman

(Ubah saiz teks)

TONGOD: Kedudukan Sabah yang bersempadan dengan dua negara jiran iaitu Filipina dan Indonesia terutama di kawasan perairan timur menyebabkannya terdedah kepada ancaman keselamatan rentas sempadan. 

Menegaskan demikian, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata sebagai contoh pergolakan di selatan Filipina. 

Menurutnya keadaan itu menyumbang kepada kegiatan penculikan untuk wang tebusan dan Kumpulan Abu Sayyaf. 

"Kita kena fokus ke arah itu untuk ditangani dengan memastikan kita sentiasa dalam siap siaga dan tidak mahu pisang berbuah dua kali," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Balai Polis Tongod di sini, Sabtu.

Beliau berkata, ancaman keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) khususnya berkaitan kegiatan pengganas dan penculikan menjadi tumpuan utama Polis Sabah.  

Beliau diminta mengulas mengenai jenayah di Sabah sepanjang menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah selama setahun enam bulan.

Beliau akan ditukarkan sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM pada 31 Disember ini. 

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun akan mengambil alih tempat beliau.

Jalaluddin berkata maklumat yang diterima berkaitan kegiatan ancaman global daripada pihak seperti militan Daesh atau IS (Negara Islam) dan Jemaah Islamiah diberi tumpuan. 

"Kita tidak mahu Sabah menjadi tempat mereka berlindung atau menjadi sasaranmereka," katanya.

Dalam ucapannya, Jalaluddin berkata pewujudan balai polis itu dapat memastikan sistem penyampaian polis kepada masyarakat di daerah ini dapat dipertingkatkan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan.  

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Bannah,yang juga Pembantu Menteri Belia Sukan Sabah, yang hadir di majlis itu berkata, pembinaan balai polis itu dapat memenuhi keperluan kira-kira 50,000 penduduk di daerah berkenaan.   

Katanya aspek jaminan keselamatan menjadi keperluan utama penduduk di daerah ini termasuk wujudnya banyak ladang kelapa sawit swasta di sekitar daerah ini yang mempunyai ramai pekerja warga asing.

Turut hadir Pegawai Daerah Tongod Robert Stidi, Ketua Jabatan Pengurusan Polis Sabah SAC Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat.-Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan