Tukang Jahit Mati Ditikam Suami - Berita Jenayah | mStar

Tukang Jahit Mati Ditikam Suami

Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2015 4:14 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seorang wanita ditemukan mati dipercayai ditikam oleh suaminya, dalam satu kejadian di rumah mereka di Taman Kluang Barat, Kluang, di sini, Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Kamarul Zaman Mamat berkata mayat mangsa yang berusia 47 tahun itu, dijumpai oleh anak lelakinya yang berusia lingkungan 20-an ketika pulang dari bekerja, kira-kira pukul 5.30 pagi.

Beliau berkata ketika dijumpai, mayat tukang jahit itu terbaring atas lantai manakala suaminya, 52, terbaring di atas mangsa.

"Siasatan awal polis mendapati kes itu berpunca daripada masalah rumahtangga dan mangsa dipercayai dibunuh suaminya sebelum lelaki itu kemudiannya cuba membunuh diri," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.

Beliau berkata polis menemukan kesan luka tikaman sedalam kira-kira dua sentimeter dan satu tetakan di dagu berukuran lapan sentimeter pada mangsa manakala kecederaan di pergelangan tangan suspek, yang bekerja sebagai tukang masak.

Sebilah pisau dan gunting, yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, turut dijumpai, kata Kamarul Zaman.

Beliau berkata suspek dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, katanya.

Tags / Kata Kunci: Kluang , Polis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan