Dua Ditahan Hina Kesultanan Johor Di Media Sosial

Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2015 7:07 PM

Gambar fail Istana Bukit Serene di Johor.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Dua lelaki dipercayai menghina kesultanan Johor dan kerabatnya melalui media sosial ditahan di lokasi berasingan pada Sabtu, kata Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Beliau berkata, suspek pertama berumur 40 tahun ditahan di sebuah apartmen di Jalan Kolam Air, Off Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur manakala suspek kedua berumur 39 tahun ditahan di Triang, Pahang.

Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek pertama dan dua buah telefon bimbit daripada suspek kedua.

"Polis turut menjumpai gambar-gambar Sultan Johor (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) dan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang telah diguna pakai suspek kedua bagi memuat naik gambar dalam laman Facebook," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini Ahad.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, yang sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman empat hari mulai Sabtu (19 Disember) untuk siasatan.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, pihak polis masih menyiasat beberapa kes lain berkaitan dengan penghinaan terhadap keluarga diraja itu dan percaya lebih banyak tangkapan akan dibuat tidak lama lagi.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial untuk menyebarkan kenyataan berbaur fitnah atau hasutan yang boleh mencemarkan kredibiliti kerabat diraja ataupun mana-mana individu," katanya.

Selain itu, beliau turut meminta agar masyarakat menggunakan laman sosial secara profesional dengan mengambil kira perkara sensitif yang boleh menyinggung perasaan orang lain. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan