Dua Kakitangan MBPP Ditahan Edar Ganja RM130,000 - Berita Jenayah | mStar

Dua Kakitangan MBPP Ditahan Edar Ganja RM130,000

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2015 2:59 PM

Mior Faridalatrash (tengah), bersama Inspektor Brine Biku (kiri) and Inspektor Jaswit Kaur dari Jabatan Narkotik negeri pada sidang media rampasan dadah di Sungai Pinang, awal pagi Selasa.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Dua kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ditahan polis selepas menemui 26 ketul ganja mampat bernilai RM130,000  di sebuah rumah di Jalan Rawang, Lintang P. Ramlee, Sungai Pinang dekat sini awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, bertindak atas maklumat dadah, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menjalankan serbuan pada pukul 2.30 pagi ini dan menahan dua lelaki masing-masing berumur 38 dan 28 tahun.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal suspek yang merupakan buruh dan  Penolong Pegawai Kesihatan MBPP itu dipercayai terlibat dalam aktiviti sindiket pengedaran dadah di negeri ini sejak setahun yang lalu.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah telah menjumpai satu paket berisi bahan yang disyaki ganja dan pihak polis kemudiannya membuat pemeriksaan di sebuah kereta yang diletakkan di hadapan rumah dan telah menjumpai 26 ketul ganja seberat 25,822 gram mampat dalam but kereta jenis Kia Sportage," katanya ketika sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan polis turut merampas 30 pil ecstasy serta dua kereta iaitu Kia Sportage dan Toyota Vios, sebuah motosikal Yamaha LC serta wang tunai RM3,850 dipercayai wang hasil jualan dadah.

Mior Faridalatrash berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -- Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan