Suami, Isteri Mengandung Lapan Bulan Maut Dalam Kemalangan - Berita Jenayah | mStar

Suami, Isteri Mengandung Lapan Bulan Maut Dalam Kemalangan

Diterbitkan: Ahad, 29 November 2015 4:43 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

REMBAU: Seorang wanita yang mengandung lapan bulan dan suaminya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di KM14.7, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, pagi Ahad.

Mangsa, Khairul Anwar Tajjuddin, 34, dan isterinya, Murni Muhamat, 26, yang dijangka bersalin hujung bulan depan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Anak lelaki pasangan itu, Muhammad Khair Maizudin, 2, pula cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, dekat sini untuk rawatan.

Kemalangan pada pukul 6 pagi itu membabitkan Proton Persona yang dinaiki keluarga itu dengan kereta Honda Civic. 

Kedua-dua kereta terbabit dipercayai bertembung sebelum kereta mangsa terbalik di dalam longkang di tepi jalan dan menyebabkan pasangan itu tersepit di tempat duduk masing-masing. 

Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Kasim Hassan berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.23 pagi dan sebuah jentera dengan enam anggota kemudian ke lokasi kejadian. 

Katanya kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa dan dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat. 

Pemandu kereta Honda Civic yang turut mengalami kecederaan dibawa ke HTJ untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian dan punca kemalangan masih dalam siasatan.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Jalan Seremban-Tampin , Murni Muhamat
   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan