Warga New Zealand Miliki Cop Keselamatan Palsu Ditahan

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 2:29 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga New Zealand yang cuba keluar ke Thailand ditahan Imigresen negeri kerana memiliki cop keselamatan palsu pada pasport semasa pemeriksaan di laluan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam, awal pagi Jumaat.

Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata warga asing berumur 56 tahun itu ditahan pada 7.30 pagi Jumaat semasa pemeriksaan dibuat di laluan keluar penumpang ke Thailand.

"Semasa pemeriksaan, pegawai Imigresen yang bertugas mendapati cop lawatan dan cop keluar yang dikeluarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru itu meragukan.

"Hasil siasatan, lelaki tersebut tiba di Kompleks ICQS dari Kuala Lumpur dan hendak ke Thailand bagi tujuan melancong. Turut ditahan seorang wanita dari Sarawak berumur 50 tahun yang mendakwa sebagai isteri lelaki berkenaan namun wanita berkenaan tidak dikenakan sebarang tindakan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 56 (1)(I) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan ditahan di lokap Imigresen, bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: New Zealand , cop keselamatan , palsu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan