Bapa Maut Dipukul Anak OKU

Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 1:04 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipukul bertalu-talu oleh anak lelakinya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) menggunakan buluh dan kayu di Kampung Hujung, Repek, Bachok pada Rabu.



Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 71 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Akibat serangan itu, sebelah telinga mangsa juga turut terputus dan kita masih menyiasat motif sebenar kejadian kerana suspek dikatakan mempunyai masalah mental.

"Suspek sepatutnya menjalani rawatan mental di hospital namun tidak dihantar oleh keluarganya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Rabu.

Mazlan berkata siasatan awal mendapati mangsa diserang ketika baru bangun tidur dan hendak menunaikan solat Subuh. 

Mazlan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Mengulas mengenai penemuan serpihan tulang dipercayai rangka manusia di Kampung Pak Keral, Pengkalan Kubor, Tumpat Isnin lepas, Mazlan berkata siasatan awal mendapati kejadian berkenaan mempunyai kaitan dengan kehilangan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang pada Mei 2013.

"Mengikut laporan yang diterima pihak polis, kedua-dua mangsa ini dikatakan keluar dari rumah kerana mahu ke kedai runcit pada 11 malam.

"Kemungkinan besar kedua-dua mangsa terlibat dalam kemalangan menyebabkan mereka terjatuh ke dalam tali air itu kerana sebelum ini, kami turut menemui rangka motosikal di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)  terhadap serpihan tulang yang ditemui itu dan telah memanggil anggota keluarga mangsa yang terlibat untuk menjalani ujian sama.

Akhbar pada Rabu melaporkan penemuan serpihan tulang selepas kerja-kerja pembersihan tali air dilakukan di kampung berkenaan.

Tags / Kata Kunci: OKU , Bunuh Bapa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan