Lima Lelaki Ditahan Disyaki Terbabit Kumpulan Pengganas - KPN

Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 8:18 PM

Anggota polis menahan suspek berusia 30 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas 'Imam Mahdi' di Puchong.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima lelaki disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas ditahan di Johor dan Selangor pada 9 November dan 13 November lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya kesemua suspek berumur lingkungan antara 22 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi dua operasi khas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, selepas disyaki cuba menyertai kumpulan militan I.S di Syria, dan mahu melakukan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang.

Khalid berkata tiga daripada suspek disyaki terbabit dengan kumpulan militan I.S. manakala dua lagi dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas 'Imam Mahdi'.

"Empat daripada mereka merupakan warga tempatan dan seorang warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua suspek - warga Indonesia, 22, yang bekerja sebagai penyelia dan pembantu farmasi Kementerian Kesihatan, 22, juga dipercayai merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan I.S.

Khalid berkata kedua-dua suspek itu pernah ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, Johor dan disiasat di bawah Akta Imigresen.

Dua lagi rakyat tempatan berumur 28 dan 30 tahun ditahan di Selangor kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas yang dikenali sebagai Imam Mahdi.

"Suspek berusia 28 tahun itu disyaki merancang untuk melancarkan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang dan membunuh mana-mana pihak termasuk ahli keluarga mereka sendiri yang cuba menentang perjuangan mereka.

"Suspek yang berusia 30 tahun bekerja sebagai penjual air merupakan bekas anggota sel Al-Ghuraba iaitu kumpulan Jemaah Islamiah yang pernah ditangkap pada tahun 2003 di Karachi, Pakistan," katanya.

Khalid berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan saki-baki anggota kumpulan itu.

Khlaid berkata, kesemua anggota kumpulan itu menggunakan Facebook untuk berinteraksi.

Suspek kelima yang berumur 40 tahun berasal dari Petaling Jaya merupakan bekas pegawai kanan di Felda Global Ventures dan telah menamatkan perkhidmatan di bawah Skim Pemberhentian Secara Sukarela pada Ogos tahun ini.

"Suspek berlepas ke Turki pada 21 Okt lepas untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai militan I.S.

"Urusan pemergian suspek ke Syria diatur seorang warga Somalia yang dikenali melalui Twitter dan telah ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada 25 Okt lepas bersama dengan sembilan warga asing dari etnik Uighur, Morocco dan Rusia sebelum diusir balik ke Malaysia," katanya.

Khalid berkata kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawab bab VIA - Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Tags / Kata Kunci: Militan , Khalid Abu Bakar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan