Polis Tahan Dua Individu, Seorang Wanita Dera Kanak-Kanak

Diterbitkan: Isnin, 9 November 2015 6:38 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang juga ibu kandung seorang kanak-kanak perempuan dua tahun yang meninggal dunia dipercayai didera di sebuah kondominium di Seksyen 5 Wangsa Maju di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sariff berkata selain ibu mangsa, polis turut menahan bapa tiri dan rakan lelaki itu pada Ahad bagi membantu siasatan.

Katanya kesemua suspek yang berusia antara 28 dan 35 tahun ditahan susulan laporan awal mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan kecederaan pada kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul dan dubur mangsa juga didapati cedera selain bahagian badan mempunyai kesan lebam. 

Mohamad Roy berkata mangsa yang tinggal bersama bapa tirinya dikatakan muntah sebelum tidak sedarkan diri serta dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan meninggal dunia pada hari kejadian. 

"Ibu mangsa meninggalkan anak keduanya itu bersama suaminya sejak dua minggu lepas dan jarang menjenguk mangsa," katanya dalam satu sidang media di sini, Isnin.

Katanya ibu mangsa yang merupakan isteri kedua tidak menetap bersama bapa tiri mangsa dan tinggal berasingan sejak berkahwin Jun lepas. 

Menurut Mohamad Roy ibu kandung mangsa mengalami tekanan dan trauma kerana mengalami keguguran. 

Polis juga sedang mencari isteri pertama bapa tiri mangsa yang dipercayai berada di Melaka untuk membantu siasatan berhubung kes ini. 

Hasil laporan penuh bedah siasat dijangka diketahui sekurang-kurangnya dua hari lagi. 

Terdahulu, bapa kandung mangsa hadir ke HKL selepas dimaklumkan oleh bekas isterinya dan membuat laporan polis selepas mengetahui keadaan anaknya itu.

"Kesemua suspek ditahan reman bermula Ahad sehingga Sabtu ini manakala kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Jumaat lepas, seorang kanak-kanak perempuan dipercayai didera sehingga meninggal dunia oleh bapa tirinya di sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Tags / Kata Kunci: Dera Kanak-Kanak , Wangsa Maju

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan