Imigresen Tumpaskan Sindiket Pemalsuan Pasport Dan PLKS

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2015 4:16 PM

Mustafa menunjukkan PLKS palsu pada sidang media di Putrajaya pada Khamis. Foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Filipina apabila memberkas seorang perancang utama sindiket di sebuah premis di Diamond Square, Gombak, Selangor pada Rabu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata, lelaki tempatan berumur 56 tahun itu diberkas pada pukul 1 petang bersama 51 buah pasport dan sembilan keping PLKS yang disyaki palsu.

"Siasatan awal mendapati suspek mula menyewa premis itu sejak lima bulan lalu untuk melakukan jenayah ini dan sebelum ini dia hanya melakukannya di rumah sendiri di Batu Caves," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini Khamis.

Hasil pemeriksaan juga menemui sembilan pelekat PLKS bercetak disyaki palsu, satu cop keselamatan palsu, satu cop keluar Imigresen Filipina palsu, satu set komputer, satu komputer riba, wang tunai RM2,222 dan beberapa dokumen permohonan pembantu rumah, katanya.

Mustafa berkata, pihaknya juga sedang mencari seorang wanita Filipina bernama Marilyn Obsioma Caad Lawon berusia 49 tahun yang dipercayai pembantu rumah lelaki itu dan bersekongkol bagi membuat pasport and PLKS palsu.

Beliau berkata, wanita Filipina itu disyaki menjadi orang tengah antara suspek dan warga Filipina lain masih berada di Malaysia.

Katanya, sindiket ini menawarkan harga RM2,000 bagi setiap PLKS palsu dan tidak perlu menyediakan dokumen-dokumen bagi memenuhi syarat yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen.

"Imigresen hanya mengenakan RM450 bagi satu PLKS tetapi majikan perlu menyediakan beberapa dokumen seperti insurans. Pelanggan sindiket berkenaan kebanyakannya warga Filipina," katanya.

Mustafa berkata, lelaki itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. 

Dalam perkembangan lain, Mustafa sekali lagi mengingatkan bahawa kerajaan tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak bagi menjalankan program pemutihan '3P' atau '6P' dan sebagainya untuk pendatang asing tanpa izin (Pati).

Katanya, majikan dan agensi pekerjaan sah diingatkan supaya tidak terpedaya dengan iklan serta promosi tentang program '3P' dan '6P' tersebut yang disebarkan secara berleluasa menerusi media sosial. 

Mustafa berkata, majikan serta agensi pekerjaan adalah dinasihat agar sentiasa merujuk kepada laman web Jabatan Imigresen untuk mendapat maklumat yang sahih. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Mustafa Ibrahim , Jabatan Imigresen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan