Empat Sekeluarga Ditahan, Disyaki Terlibat Dalam Empat Kes Bunuh Di Tapah

Diterbitkan: Isnin, 2 November 2015 7:54 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka dipercayai terbabit dalam kes bunuh melibatkan sekurang-kurangnya empat individu di sekitar daerah Tapah, dekat sini, minggu lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata penahanan itu susulan laporan kehilangan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dekat Tapah pada 25 Oktober lepas.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pahang, Tapah kira-kira pukul 1.30 tengah hari, pada 26 Oktober lepas.

"Pasangan suami isteri yang ditahan itu berusia 57 (suami) dan 54 tahun (isteri) manakala dua anak lelakinya masing-masing berusia 20 dan 17 tahun.

"Suspek berusia 57 tahun itu bekerja sebagai mekanik manakala isterinya seorang suri rumah. Sementara itu, anak lelaki yang berumur 20 tahun bekerja sebagai mekanik dan seorang lagi tidak mempunyai pekerjaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini Isnin.

Hasnan berkata hasil siasatan awal mendapati, bapa serta anak lelakinya yang berusia 20 tahun itu terlibat dengan kes kehilangan mangsa pertama dan maklumat mendedahkan mangsa dibunuh dan dibakar di bengkel milik suspek.

"Sisa pembakaran telah dibuang di dalam sungai yang berhampiran manakala motosikal mangsa ditinggalkan di tepi jalan menghala ke Cameron Highlands.

"Siasatan lanjut terhadap suspek turut mendedahkan tiga lagi mangsa hilang di sekitar kawasan Tapah dipercayai telah dibunuh dan dibakar dengan modus operandi yang sama.

"Mangsa-mangsa itu ialah seorang wanita berusia 56 tahun, bekerja sebagai  pengusaha bas dan dilapor hilang pada 1 Mac 2014, seorang lelaki berumur 24 tahun bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan, dilapor hilang pada 15 Jun tahun yang sama dan seorang lelaki berusia berusia 36 tahun, bekerja di bengkel milik suspek yang dilapor hilang pada 30 Oktober 2012," katanya.

Hasnan berkata Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah menjalankan siasatan di beberapa kawasan kejadian.

Menurut Hasnan, beberapa sampel tulang yang dijumpai di sekitar kawasan kejadian telah dihantar ke HRPB untuk menjalani proses mengenal pasti asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau berkata suspek berusia 57 tahun itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau antaranya pecah rumah, tipu, mencuri dan pecah amanah.

Hasnan berkata motif pembunuhan disebabkan hal berkaitan dengan hutang, penjualan tanah yang gagal serta seorang daripada mangsa dibunuh dipercayai mencuri barang hak milik suspek.

"Kita sedang menyiasat kemungkinan ada lagi mangsa yang terlibat dalam kes ini dan siasatan mengenai perkara itu masih dijalankan," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan reman sejak 27 Oktober lepas, disambung reman selama lima hari bermula pada Isnin bagi membantu siasatan.

Terdahulu, di Mahkamah Tapah pada Isnin, polis mendapat perintah untuk melanjutkan tempoh reman terhadap empat suspek itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Nadia Abdul Razak di Mahkamah Majistret.

Tinjauan di lokasi kejadian yang juga merupakan rumah suspek di Batu 1, Jalan Pahang, Tapah mendapati rumah berkenaan yang turut menempatkan bengkel membaiki kenderaan dilihat tidak berpenghuni selain terdapat lebih 20 ekor anjing berkeliaran di kawasan rumah berkenaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: bunuh , empat sekeluarga

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan