Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Di Lawas

Diterbitkan: Ahad, 1 November 2015 12:07 PM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Seorang wanita warga emas yang berusia lebih 100 tahun rentung dalam kebakaran di Kampung Gelapas, Trusan Lawas di Limbang awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Mohd Shamlie Radae berkata dalam kejadian pada 4 pagi itu, mangsa, Tiamah Montol, dipercayai terperangkap di dalam bilik tidurnya manakala anak lelakinya Sulaiman@Alias Murah, 50-an, melecur di kepala.

"Saya difahamkan anak lelaki itu cuba menyelamatkan emaknya tapi pintu bilik berkunci dari dalam," katanya ketika dihubungi Bernama Ahad.

Beliau berkata semasa kejadian, api merebak terlalu cepat sehingga menyebabkan usaha menyelamatkan mangsa gagal.

Mayat Tiamah dijumpai pada pukul 5.40 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan manakala Sulaiman pula masih menerima rawatan di Hospital Lawas.

Mohd Shamlie berkata dua lagi anggota keluarga itu yang berada di rumah berkenaan semasa kejadian berjaya menyelamatkan diri.

Turut terbakar adalah rumah kayu yang terletak di belakang rumah mangsa yang dihuni enam orang iaitu empat lelaki dan dua perempuan namun mereka berjaya menyelamatkan diri, katanya.

Beliau berkata bomba menerima panggilan pada pukul 4.25 pagi serta tiba di lokasi pada pukul 4.50 pagi.

"Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.02 pagi dan punca kejadian tersebut masih dalam siasatan," katanya.
Tags / Kata Kunci: kebakaran , rentung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan