11 Kaki Judi Ditahan Di Cameron Highlands

Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 5:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Polis menahan 11 lelaki dipercayai terlibat  kegiatan perjudian berbentuk simulator dan mesin slot di sebuah premis dekat Jalan Besar Ringlet, Cameron Highlands tengah malam Selasa.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Pahang, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 12.30 malam selepas menerima maklumat awam.

"Dalam serbuan itu, seorang penjaga bersama lima pekerja premis ditahan dan pada masa sama lima lagi lelaki yang leka bermain mesin judi tersebut turut ditangkap," katanya.

Beliau berkata selain itu polis juga merampas 25 unit mesin judi slot video, tiga unit mesin judi simulator, lapan helai kertas catatan rekod niaga dan wang tunai RM5,450.

Raja Shahrom berkata semakan awal juga mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen perjudian yang sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (B) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 5 (1)(b) Enakmen Hiburan Negeri Pahang.

Serbuan itu dijalankan sepasukan anggota polis JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.

Tags / Kata Kunci: Cameron Highlands

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan