APMM Tahan Dua Kapal Pindah Minyak Secara Haram

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2015 11:25 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua kapal asing kerana melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, pada Sabtu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata kedua-dua kapal itu ditahan di kedudukan 2.2 batu nautika tenggara Tanjung Ayam, pada 12.30 tengah hari.

"Semasa ditahan, kapal MT Chelsea II yang berdaftar di Singapura didapati sedang memindahkan 45.543 tan metrik minyak jenis Marine Gas Oil (MGO) ke kapal MV Lu Rong Yuan Yu 978 yang berdaftar di Shidao, China," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Amran berkata MT Chelsea II membawa lapan kru rakyat Indonesia, Myanmar dan Singapura manakala MV Lu Rong Yuan Yu 978 membawa 17 kru rakyat China dengan kesemua kru kedua-dua kapal terbabit berumur 35 hingga 54 tahun.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua kapal itu gagal mengemukakan dokumen atau permit berkaitan melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal.

"Kedua-dua kapal itu juga melakukan kesalahan lain seperti gagal melaporkan ketibaan kapal dalam perairan Malaysia dan gagal membayar dius api," katanya.

Menurut Amran, tiga kru kapal MT Chelsea II dan dua kru kapal MV Lu Rong Yuan Yu 978 dibawa ke Pejabat Maritim Daerah Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 49 1B(1)(k) dan Seksyen 49 1B(I)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran dan berlabuh tanpa kebenaran tanpa memaklumkan kepada Pengarah Laut serta  Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 kerana gagal membayar dius api.

Tags / Kata Kunci: APMM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan