Warga Emas Maut Dirempuh Nissan Fairlady 350Z

Diterbitkan: Khamis, 22 Oktober 2015 11:02 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Seorang warga emas maut apabila kereta wira yang dipandunya dirempuh sebuah kereta Nissan Fairlady 350Z di hadapan rumahnya di Jalan Kampung Bakau di sini, Rabu malam.

Abdan Yob, 73, yang menjalankan perniagaan bihun sup di hadapan rumahnya dalam perjalanan pulang setelah membeli barang untuk perniagaannya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Cucu mangsa, Nurazlia Ali, 26, yang ditemui berkata dalam kejadian pukul 8.30 malam itu beliau dan adiknya, Mohd Nurazmeer Ali, 22, meluru ke tempat kejadian apabila mendengar satu dentuman kuat.

Saya dan adik nampak tokwan dah terbaring di kerusi penumpang...kaki tokwan tersepit pintu tempat duduk pemandu...saya dan adik mengampu tokwan atas riba dan saya ajar tokwan mengucap bila nampak dia dah nazak...," katanya.

Ketua Polis Kangar, Superitendan Abdul Rahman Mohd Noordin yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Siasatan awal mendapati kereta Nissan dipandu laju seorang lelaki berusia 30 tahun pemilik kedai aksesori kereta dari arah Jalan Padang Behor terbabas, lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta mangsa dan mengheretnya sehingga merempuh sebuah lagi kereta Proton Gen 2 milik Nurazlia yang berada di bahu jalan berhadapan rumah datuk beliau.

Akibat rempuhan itu, kereta Gen 2 tersebut juga turut terseret sehingga melanggar sebuah lagi kereta Kancil milik seorang pelanggan peniaga itu yang diletakkan di bahu jalan itu, kata Abdul Rahman.

Peniaga bihun sup itu meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah, manakala pemandu Nissan Fairlady terbabit ditahan untuk disoal siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tags / Kata Kunci: Nissan Fairlady 350Z

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan