Mangsa Culik Ditemui Dibunuh - Berita Jenayah | mStar

Mangsa Culik Ditemui Dibunuh

Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2015 4:50 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang penjual aksesori telefon berusia 41 tahun yang diculik,  ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di Subang Jaya.

Mayat mangsa dijumpai dengan berlumuran darah di tempat duduk penumpang hadapan kereta beberapa jam selepas dia diculik oleh sekumpulan suspek pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa dari Taman Bukit Serdang bersama-sama seorang rakannya di Jalan SS15/2A semasa kejadian itu berlaku.

"Kami berjaya mengesan jejak mangsa melalui telefonnya.

"Selepas satu jam setengah mengawasi jika ada sesiapa yang datang berdekatan dengan kenderaan itu, kami memutuskan untuk bergerak," katanya.

Sebilah pisau yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan turut ditemui pada tempat letak kaki penumpang belakang.

Yahaya berkata, satu laporan telah dibuat oleh saudara mangsa.

"Menurutnya, dia menerima panggilan daripada rakan mangsa yang mendakwa sekumpulan lelaki telah menculik adiknya. Pemanggil itu juga mendakwa dia telah ditikam dan dalam perjalanan ke hospital di SS12.

"Kami akan menyoal pemanggil itu yang mana kami percaya dia ada bersama dengan mangsa sebelum diculik.

"Motif kejadian belum diketahui. Kami akan mengesan suspek dahulu," katanya.

Beberapa kesan tikaman, termasuk di kepala ditemui pada mayat mangsa.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tags / Kata Kunci: Subang Jaya , Culik
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan