APMM Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 290 Karton Rokok

Diterbitkan: Ahad, 18 Oktober 2015 5:08 PM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 291 karton rokok pelbagai jenama berikutan penahanan dua lelaki warga Thailand petang semalam, kata Pengarah Operasi Wilayah Utaranya, Kapten Maritim Salim Ahmad di sini, Ahad.

Katanya saspek yang masing-masingnya berumur 46 dan 58 tahun itu ditahan pada kira-kira 3 petang setelah bot nelayan yang digunakan mereka, dipintas bot peronda APMM berdekatan Pulau Langgun di sini.

Bercakap dalam sidang media di sini, beliau berkata rokok yang dianggarkan bernilai RM30,000 keseluruhannya itu disembunyikan dalam beberapa bungkusan plastik hitam di dalam bot berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana disyaki mengangkut barangan larangan untuk dibawa keluar dari Pulau Langkawi," katanya.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda antara 10 kali ganda dan 20 kali ganda nilai barangan, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: APMM , Rokok Seludup

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan