Sindiket Proses, Jual Dadah Di Melaka Tumpas

Diterbitkan: Isnin, 12 Oktober 2015 6:51 PM

Supt Maidu Abu Bakar (kanan) melihat peralatan memproses dadah yang dirampas dari sindiket pemprosesan dan penjualan dadah. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menjual dadah selepas menahan dua individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM137,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kenanga, Kampung Lapan di sini, Khamis lepas.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Maidu Abu Bakar berkata seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan wanita warga Vietnam berumur 25 tahun ditahan di rumah berkenaan yang dipercayai menjadi makmal memproses dadah jenis heroin dalam serbuan pukul 1 tengah hari itu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menjumpai 54 paket plastik dipercayai syabu; satu bungkusan kuning disyaki syabu seberat 1.2 kilogram, tujuh paket plastik berisi heroin dengan anggaran 959 gram serta 30 pil estasy seberat 6.8 gram.

"Semua dadah dijumpai di tingkat tiga rumah sewa itu dengan beberapa alat memproses antaranya kuali dan botol bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini membeli syabu untuk diproses semula bersama beberapa bahan kimia lain bagi mengaut keuntungan lebih," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai menjual dadah berkenaan untuk pasaran di negeri ini dan telah beroperasi kira-kira dua bulan lepas.

Katanya polis turut merampas sebuah kereta bernilai RM45,000 yang digunakan suspek dan ujian saringan yang dijalankan mendapati dua suspek itu masing-masing positif dadah jenis opiate dan methamphetamine.

Maidu berkata siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai lima rekod jenyah lampau berkaitan dadah manakala wanita itu didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 16 Okt  ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, katanya polis percaya sindiket itu dianggotai beberapa individu lain dan pihaknya sedang memburu mereka untuk membantu siasatan.

Tags / Kata Kunci: Dadah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan