Rumah Terbakar: Dua Beradik Rentung

Diterbitkan: Isnin, 12 Oktober 2015 2:55 PM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Dua beradik lelaki ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Neting, Pengkalan Kubor di sini, malam Ahad.

Dalam kejadian pada 12.10 tengah malam itu, Mohd Zulhilmi Asaari, 33, dan adiknya Mohd Nasrullah, 23, sedang tidur dalam dua bilik berasingan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor Pegawai Bomba Kanan 1, Nazah Nafi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.14 tengah malam sebelum 20 anggota bersama-sama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak bomba cuba mengesan dua mangsa yang dimaklumkan terperangkap dalam rumah berkenaan. Namun, tidak berjaya selepas 80 peratus daripada kediaman itu terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Nazah berkata selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1.45 pagi, dua beradik itu ditemui rentung. Mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Sementara itu, keluarga mangsa yang ditemui di Hospital Tumpat enggan ditemu ramah berhubung kejadian itu.

Saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Tuan Zainab Tuan Kadir, 62, berkata kebakaran itu disedarinya selepas mendengar jeritan kuat dari luar rumah.

"Selepas membuka pintu bilik tidur, saya melihat api sedang marak. Saya meminta anak menghubungi bomba sebelum bergegas ke rumahnya (mangsa) bersama suami," katanya.

Katanya beberapa orang kampung cuba memecahkan pintu rumah dan memanggil mangsa namun tiada sebarang jawapan diterima sehingga seluruh rumah musnah dijilat api.

Kedua-dua mangsa adalah daripada tujuh beradik dan tinggal di rumah berkenaan sejak kematian ibu bapa mereka dua tahun lepas.

Punca kebakaran masih disiasat dan kerugian dianggarkan berjumlah RM80,000.

Tags / Kata Kunci: Tumpat , Kebakaran , Rentung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan