Lelaki Ditahan Kerana Menyamar Polis, Cubaan Cabul

Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 5:01 PM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Seorang lelaki ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis serta cuba mencabul kehormatan pembantu rumah warga Filipina di sebuah rumah di Jalan Khalidi di sini 30 September lepas.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, polis menahan suspek berumur 27 tahun itu di Tanjong Emas di sini kira-kira pukul 7.30 malam Sabtu lalu.

Azman berkata dalam kejadian 30 September itu, suspek yang menaiki sebuah motosikal telah pergi ke rumah berkenaan sebelum meminta visa daripada pembantu rumah tersebut.

"Pembantu rumah yang baru bekerja kira-kira tiga hari itu kemudiannya bergegas menuju ke dalam rumah, sebelum suspek bertindak mengejar mangsa dan cuba memeluknya.

"Bagaimanapun, seorang daripada anak tuan rumah yang menyedari kejadian itu kemudiannya bertindak menjerit hingga menyebabkan suspek melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata, suspek yang merupakan seorang penganggur dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup dan siasatan juga mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 354/511 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul," katanya.

Sementara itu, polis turut menahan lima remaja lelaki berumur 14 hingga 17 tahun bersama seorang lelaki dewasa berumur 21 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk bengkel motosikal di pekan Parit Yusof, di sini pada 29 September lalu.

Azman berkata semua remaja itu yang sudah tidak bersekolah termasuk dua daripadanya merupakan adik beradik ditahan dalam beberapa serbuan di rumah masing-masing sehari selepas kejadian.

Katanya hasil tangkapan itu polis berjaya menemukan semula barang yang dicuri di bengkel berkenaan selain sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Telok Kemang, Negeri Sembilan sebelum ini.

Beliau berkata, mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan ujian saringan air kencing mendapati semuanya negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Semua suspek direman sehingga 11 Okt ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: cabul , Azman Ayob , Tanjong Emas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan