Pegawai Lapangan Terbang Ditahan Iring Masuk Suspek IS Ke KLIA

Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2015 10:36 AM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Seorang daripada 10 orang yang ditahan pada bulan lepas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan adalah anggota polis bantuan yang mengendalikan pemeriksaan bahan letupan dan barang-barang berbahaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sumber dari bahagian anti keganasan menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan penerbangan di negara ini, dengan berkata, suspek telah bekerja di Terminal KLIA 1 sejak 2013.

"Dia bekerja di bahagian mesin pengimbas," kata sumber itu kepada The Straits Times.

Sebelum KLIA, lelaki itu bekerja di lapangan terbang Subang, tambah sumber itu.

Sambil menyifatkan perkara ini sebagai serius, pakar pencegahan keganasan berkata akses yang lebih luas untuk pegawai polis lapangan terbang berkemungkinan membantu aktiviti penyeludupan senjata dan militan untuk serangan keganasan.

Terminal 1 KLIA adalah untuk penerbangan Malaysia Airlines dan semua syarikat penerbangan udara antarabangsa manakala lapangan terbang Subang untuk syarikat penerbangan menengah.

Suspek kini ditahan selama 60 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah, POCA, Pindaan dan Pemerluasan 2013 untuk membantu siasatan.

Daripada sembilan yang lain yang ditahan, lapan daripada mereka, termasuk lima anggota tentera telah didakwa di mahkamah.

Menurut sumber itu, pegawai lapangan terbang itu didakwa mengiringi anggota IS Zulqarnain Ghaz Ab Ghani yang merupakan abang iparnya, melalui imigresen di KLIA ketika Zulqarnain sedang dalam perjalanan ke Syria pada April tahun lepas.

Apabila Zulqarnain kembali pada bulan Ogos, suspek sekali lagi mengiringinya melalui imigresen.

Zulqarnain telah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

"Individu seperti itu boleh membantu membawa masuk senjata, bahan letupan, militan untuk mensabotaj lapangan terbang atau pesawat," kata sumber itu.

Penganalisis memerangi keganasan memberi amaran bahawa lapangan terbang sentiasa menjadi sasaran sel-sel pengganas dan adalah penting untuk Skrin pengimbas lapangan terbang itu ditapis dengan betul.

Sumber dari bahagian memerangi keganasan berkata, polis telah bertemu dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menasihati pengendali lapangan terbang itu mengetatkan pemeriksaan latar belakang kakitangan keselamatan lapangan terbang.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap MAHB memberitahu The Straits Times bahawa kakitangannya telah disemak oleh pihak polis.
Tags / Kata Kunci: militan IS , polis lapangan terbang , KLIA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan