Murid Orang Asli Hilang: Pusat Operasi Dipindah Ke IPD Gua Musang

Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 5:34 PM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini, akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dalam masa terdekat.

Namun Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah menegaskan perpindahan pusat operasi dari SK Tohoi ke IPD Gua Musang bukan bermakna operasi mencari kanak-kanak tersebut dihentikan.

"Operasi ini masih berjalan seperti biasa dan pusat operasi itu akan memantau semua pergerakan mencari di kawasan Pos Tohoi dengan menetapkan kawasan lebih kecil sedikit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli Pos Tohoi, Rabu.

Dalam kejadian 23 Ogos lepas, enam murid perempuan dan seorang murid lelaki Orang Asli berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

Saiful Bahri berkata pemindahan pusat operasi itu adalah untuk keselesaan pasukan SAR dan IPD Gua Musang sedang menyiapkan tempat bagi menempatkan pusat berkenaan.

Beliau yang juga komandan operasi tersebut yang melibatkan beberapa pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, berkata walaupun pelbagai cara telah dilakukan termasuk penggunaan anjing pengesan dan helikopter, usaha mengesan murid itu masih menemui jalan buntu.

Katanya kawasan hutan dengan radius 80 kilometer sekitar Pos Tohoi juga sudah dijejaki dan ditambah 60km lagi tetapi tetap gagal menemui tujuh kanak-kanak itu.

"Kita sedang mengambil langkah mengecilkan kembali kawasan dan anggota operasi tetapi perkara itu akan dibincangkan bersama dengan ketua jabatan masing-masing supaya ada persetujuan bersama. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: orang asli , hilang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan