Tentera Laut Singapura Selamatkan Anak Kapal Bot Malaysia Karam - Berita Jenayah | mStar

Tentera Laut Singapura Selamatkan Anak Kapal Bot Malaysia Karam

Diterbitkan: Selasa, 22 September 2015 11:39 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Angkatan Laut Singapura menyelamatkan lima anak kapal sebuah bot pukat tunda yang karam pagi Selasa.

Pihak Berkuasa Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) menerima laporan bahawa sebuah bot pukat tunda ikan yang didaftarkan di Malaysia karam tujuh batu nautika dari timur laut Pedra Branca, di perairan Singapura kira-kira pukul 9.40 pagi Selasa.

Kelima-lima anak kapal telah diselamatkan oleh RSS Independence, sebuah kapal peronda Tentera Laut Republik Singapura.

Dua anak kapal bot pukat tunda itu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan perubatan yang diberikan oleh kru RSS Independence.

Anak kapal yang diselamatkan tiba di Singapura dengan selamat. Pihak berkuasa Singapura mengesahkan kerakyatan mereka.

MPA telah menggunakan tiga kapal untuk menjalankan operasi menyelamat di perairan Singapura dan untuk memastikan keselamatan pelayaran.

Pihak berkuasa maritim juga telah mengeluarkan siaran pelayaran kepada kapal-kapal memberi amaran kepada mereka untuk menjauhi kawasan kejadian. - The Straits Times/Asia News Network
Tags / Kata Kunci: bot tunda karam , MPA , RSS Independence

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan