Mayat Dua Beradik Penoreh Getah Ditemui Berulat

Diterbitkan: Isnin, 21 September 2015 9:30 PM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

BERUAS: Dua beradik ditemui mati dalam keadaan mayat mereka berulat dan berbau di rumah mereka di Ladang Kelapa Sawit Sungai Beruas, Kampung Pulau Meranti di sini pagi Isnin.

Mayat Salmiah Yaakob, 76 dan adiknya Salasiah, 71, yang bekerja sebagai penoreh getah ditemui anak saudaranya Mazlan Yunus, 52, kira-kira pukul 9.30 pagi.

Mazlan berkata beliau menemui mayat setelah datang dari Ipoh untuk melawat kedua-dua ibu saudaranya itu yang masih bujang dan tinggal bersama.

"Selalunya bila saya bunyikan hon kereta saya, Mak Ngah (Salmiah) akan membuka pintu, tetapi pagi tadi saya memberi salam berulang kali, namun kelibat mereka tidak kelihatan dan mereka tidak menyahut.

"Saya meninjau ke belakang rumah dan mendapati pintu dapur terbuka. Apabila masuk ke dalam rumah, saya terkejut melihat Mak Ngah terlentang di lantai berdekatan pintu dapur dan dia sudah berulat serta mulutnya diikat dengan kain," katanya.

Mazlan berkata berkata beliau turut terkejut apabila mendapati mayat Salasiah dalam keadaan lidah terjelir berada di atas kerusi malas di ruang tamu.

Beliau kemudiannya memanggil penduduk kampung dan memaklumkan kepada pihak polis.

Mazlan berkata tiga minggu lepas ibu saudaranya memberitahunya terdapat  warga Indonesia yang bertanyakan bilangan orang yang tinggal bersama mereka.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata kedua-duanya dipercayai meninggal kira-kira lima hari sebelum mayat mereka ditemui.


"Kes belum diklasifikasi, kita tunggu laporan bedah siasat yang dijalankan pihak hospital esok," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan