Kes Pembunuhan Kevin Morais: Dua Lagi Suspek Ditahan

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2015 8:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua lagi suspek ditahan berhubung kes pembunuhan timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais, menjadikan jumlah ditahan tujuh orang setakat ini.

Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata dua lelaki berusia 46 dan 47 tahun itu ditahan di sebuah kedai cuci kereta di Jinjang, Kepong di sini, 3 petang Khamis.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Mayat Kevin Morais ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini pada Rabu lepas, selepas seorang daripada suspek membawa polis ke lokasi tong itu dibuang di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Morais, 55, yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, di sini pada 4 September untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Sebelum ini, lima suspek berumur lingkungan 22 hingga 52 tahun ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Anthony Kevin Morais , jenayah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan