Kebocoran Asid Nitrik Sebabkan Kesesakan Di Lebuhraya Guthrie

Diterbitkan: Isnin, 14 September 2015 11:28 AM

Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sepasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan anggota bomba dikejarkan ke Kilometer 1.1 Lebuhraya Guthrie, Seksyen U8 di sini apabila sebuah tong mengandungi asid nitrik yang dibawa sebuah treler bocor pagi ini.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan jalan raya sejauh kira-kira lima kilometer berikutan anggota penyelamat terpaksa menutup sebelah jalan menghala ke Shah Alam dan mengalihkan lalu lintas ke arah Bukit Jelutong bagi kerja pembersihan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, treler dari sebuah kilang di Rawang itu membawa keseluruhan muatan enam tong asid sulfurik seberat 6,000 kg dan tiga tong asid nitrik seberat 3,000 kg.

Bagaimanapun, satu tong berisi asid nitrik seberat 1,000 kg bocor, menyebabkan asid itu mengalir ke atas jalan.

"Pihak kami kawal pengaliran asid menggunakan kaedah penyerapan dan soda ash serta water curtain untuk halang wap asid daripada merebak. Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, bomba menerima panggilan mengenai insiden itu pada 7.25 pagi.

Beliau berkata 11 anggota Hazmat dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik berjaya mengawal keadaan pada kira-kira 8.20 pagi. -- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Lebuhraya Guthrie , Hazmat , asid

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan