Insiden Baling Suar: 11 Penyokong Direman

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2015 6:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seramai 11 penyokong bola sepak termasuk lima pelajar universiti awam dan swasta, ditahan kerana menimbulkan kekecohan sewaktu perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata kesemua lelaki berusia antara 19 dan 36 tahun itu, kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Kesemua yang ditahan berada dalam kumpulan 200 hingga 300 penyokong Ultras Malaya yang mana lima daripadanya adalah penuntut universiti awam dan swasta manakala bakinya bekerja sendiri dan kakitangan syarikat swasta.

"Dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan curi. Ujian air kencing ke atas kesemua suspek bagaimanapun didapati negatif," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, Rabu.

Tindakan penyokong membaling suar dan bom asap ke padang mengakibatkan  perlawanan keempat Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu dihentikan pada minit ke-88 ketika pelawat sedang mendahului 2-1.

Shafien berkata turut dirampas ialah 11 telefon bimbit dipercayai digunakan suspek untuk berhubung melalui aplikasi whatsapp dan sistem pesanan ringkas (sms) selain beberapa batang suar, bom asap dan suar roket.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti cara suspek membawa masuk semua bahan terlarang itusedangkan pihaknya membuat pemeriksaan rapi terhadap setiap penyokong yang memasuki pintu stadium.

Bagaimanapun, Shafien tidak menolak kemungkinan penglibatan penjual minuman di dalam stadium untuk membawa masuk bahan tersebut sebelum perlawanan bermula.

"Ini kerana penjual minuman tidak masuk ke stadium melalui pemeriksaan polis. Jadi kita juga akan siasat kemungkinan bahan larangan itu dibawa masuk melalui mereka atau diletak lebih awal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), pemilik stadium dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan insiden sama tidak berulang.

Mengulas lanjut, Shafien berkata siasatan mendapati modus operandi suspek adalah memasuki stadium pada saat akhir secara berpusu-pusu, supaya tidak disyaki polis.

"Polis telah memerhatikan tingkah laku mereka yang mencurigakan sejak bermula perlawanan tetapi kita tidak ambil tindakan yang boleh menimbulkan provokasi kepada mereka.

"Sebab itu kita dapat mengawal keadaan dengan baik dan berjaya menahan kesemua suspek kira-kira setengah jam selepas insiden berkenaan," katanya.

Menurut Shafien, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai penyokong Arab Saudi tercedera atau dicederakan semasa insiden itu dan pihaknya akan menghubungi Kedutaan Arab Saudi jika terdapat sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut meminta penyokong lain yang terlibat dalam insiden berkenaan supaya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi membantu siasatan.

Tags / Kata Kunci: Shah Alam

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan