Operasi Kesan Tujuh Murid Orang Asli Dipergiat - Polis

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2015 10:45 PM

Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa Gua Peraling pada Isnin untuk mengesan tujuh kanak-kanak Orang Asli yang masih hilang. - foto SAZUKI EMBONG/The Star

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Operasi mencari dan menyelamat tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini yang hilang sejak 23 Ogos lepas dipergiatkan, kata Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah.

Beliau berkata operasi itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Setakat hari ini belum ada sebarang keputusan (sama ada dihentikan operasi) usaha mencari masih diteruskan dengan anggota-anggota ATM terus menjejaki murid-murid terbabit (di dalam hutan)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Tohoi di sini, Isnin.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan hilang selepas bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

Sementara itu, ibu bapa murid berkenaan terus berharap anak-anak mereka dapat segera ditemui dengan selamat.

Medah Angah, 38, dari Kampung Gawin berkata dia setiap hari menitiskan air mata mengenangkan nasib dua anaknya Noreein Yaacob, 10, dan Haikal, 8, yang masih belum ditemui.

"Kami sudah dua minggu tidak ada selera untuk makan selagi dua anak kami tidak dijumpai dan tak tahulah nasib mereka sama ada masih hidup atau mati, tetapi berharap ditemui dalam keadaan selamat," katanya dengan sayu.

Operasi mencari dan menyelamat itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
 

Tags / Kata Kunci: Orang Asli , SK Tohoi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan