Pegawai Trafik Kritikal Dirempuh Mat Rempit - Berita Jenayah | mStar

Pegawai Trafik Kritikal Dirempuh Mat Rempit

Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 1:27 PM

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Seorang pegawai penguat kuasa trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang cedera parah akibat dirempuh Mat Rempit dalam Ops Roda/Rempit di Km 58, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.40 pagi ketika Inspektor Margaret Tagum anak Goen, 32, sedang melakukan sekatan jalan raya bersama 20 anggota trafik dan pasukan sukarelawan polis.

Beliau berkata seorang daripada sekumpulan Mat Rempit yang datang dari arah Mersing menuju bandar Kluang telah merempuh pegawai tersebut ketika mereka cuba meloloskan diri dari sekatan itu.

Rempuhan itu menyebabkan Tagum patah tangan, tulang pinggul dan kaki selain mengalami pendarahan dalaman dan beliau kini dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini, katanya.

Mohamad berkata penunggang terbabit yang berumur 17 tahun dapat ditahan selepas dia terjatuh dari motosikalnya.

Beliau berkata enam rakan remaja tersebut yang melarikan diri turut ditahan kemudiannya.

Mereka termasuk remaja berkenaan yang berumur antara 14 hingga 20 tahun didapati tidak mempunyai lesen dan dipercayai sedang berlumba ketika kejadian, katanya.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Ops Roda , Mat Rempit , Mohamad Laham
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan