Bot Karam: Saksi Kejadian Nampak Mangsa Terkapai-Kapai

Diterbitkan: Sabtu, 5 September 2015 4:00 PM

Anggota pasukan penyelamat mendaratkan tujuh lagi mayat tragedi bot karam perairan Sabak Bernam yang baru dijumpai ke markas utama operasi Mencari dan Menyelamat di Perhentian Feri Ladang Sungei Bernam, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

HUTAN MELINTANG: Seorang nelayan yang turut membantu menyelamatkan mangsa bot karam di Tanjung Sauh, perairan Sabak Bernam pada Khamis lepas, berkata dia terkejut apabila melihat begitu banyak mangsa sedang terkapai-kapai di permukaan air.

Heng Lee Hua, 45, yang ketika itu mahu pulang ke Jeti Hutan Melintang selepas menangkap ikan, berkata dia juga nampak seorang wanita berpaut pada mayat seorang daripada mangsa tragedi itu untuk mengelak daripada lemas.

"Keadaan mangsa ketika itu sudah agak lemah serta tidak bermaya. Pada mulanya, saya bersama rakan yang lain hanya nampak seorang mangsa, namun terkejut apabila terdapat banyak lagi mangsa.

"Dalam keadaan kelam kabut, kami menaikkan kesemua mangsa sama ada hidup atau mati ke atas bot," katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat di Jeti Hutan Melintang di sini, Sabtu.

Lee Hua berkata, dia kemudiannya menghubungi pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

Setakat hari ini, mayat 19 wanita dan lima lelaki ditemui manakala 20 lagi termasuk seorang wanita terselamat, selepas bot yang membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Selangor pada Khamis pagi.

Bot sepanjang 40 kaki itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.

Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.

Lee Hua berkata, kejadian itu merupakan pertama kali dialaminya sejak dia menjadi nelayan lebih 20 tahun lepas.

"Walaupun penat, kami bangga dapat membantu mereka yang terselamat dalam tragedi itu," katanya.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Tanjung Sauh , Sabak Bernam , Heng Lee Hua

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan